Model pengajaran mengandungi
unsur-unsur penting yang dapat memberi gambaran tentang proses pengajaran. Pada
masa dahulu, pengajaran dianggap sebagai satu proses yang mudah iaitu
pengajaran sebagai suatu penyampaian pengetahuan daripada guru kepada murid.
Situasi ini dinamakan proses pengajaran sehala iaitu guru sebagai pengajar
menyalurkan pengetahuannya kepada murid yang menerima segala-galanya, seperti
yang ditunjukkan pada rajah di bawah.
Apabila pengajaran sedemikian
berlaku, guru merupakan sebagai individu yang aktif manakala murid menerima
secara pasif. Tidak terdapat sebarang interaksi antara guru dengan muridnya.
Tanpa interaksi antara guru dengan muridnya, maka sukar untuk menentukan sama
ada proses pembelajaran telah berlaku atau tidak. Murid tidak diberikan peranan
aktif sebagai individu yang boleh menentukan pembelajarannya.
Namun keadaan sekarang sudah jauh berubah daripada keadaan seperti itu.
Pengajaran lebih disifatkan satu proses yang dengan sengaja dirancangkan dengan
objektif dan isi yang dipilih khas untuk disesuaikan dengan keperluan murid.
Untuk menentukan proses pengajaran dan pembelajaran berkesan, guru-guru
haruslah mengambil pelbagai pertimbangan seperti memilih model-model pengajaran
yang boleh memberi kesan positif pada pengajarannya di samping pemilihan
kaedah, teknik dan pendekatan. Di sini dibincangkan beberapa model pengajaran dan
pembelajaran untuk pertimbangan guru. Setiap model-model yang dicadangkan
mempunyai kekuatan tersendiri dalam membantu guru-guru dalam proses
pengajarannya (Mok Soon Sang, 2003).
Model Pengajaran Asas
Model ini dikemukakan oleh Robert
Glaser (1962). Model ini dianggap sebagai model asas yang dapat menggambarkan
proses pengajaran dan pembelajaran. Model Glaser membahagikan proses pengajaran
kepada empat bahagian seperti dalam rajah berikut;
Mengikut model
Rajah 2 proses pengajaran bermula dengan guru menentukan objektifnya.
Objektif Pengajaran
Objektif pengajaran ialah perlakuan
yang hendak dicapai murid setelah mengikuti sesuatu pengajaran. Ia merupakan
pernyataan tentang perlakuan murid yang dapat diperhatikan dan dapat diukur
setelah langkah pengajaran dijalankan. Pernyataan yang jelas tentang perlakuan
murid yang hendak dicapai membolehkan guru merancang langkah-langkah pengajaran
dan membuat penilaian ke atas keberkesanan pengajarannya.
Tingkah Laku Sedia
Tingkah laku sedia murid merujuk
kepada pengetahuan, kemahiran atau sikap yang sudah ada pada seseorang murid.
Penentuan tingkah laku sedia murid membolehkan guru menilai sama ada objektif
yang telah dirancang itu sesuai atau tidak. Sesuatu pembelajaran baru akan
menjadi lebih bermakna sekiranya dikaitkan dengan pengalaman sedia ada murid,
kebolehan serta minat mereka.
Prosedur Pengajaran
Bahagian ini menerangkan tentang
proses pengajaran. Prosedur pengajaran berbeza mengikut objektif pengajaran
yang hendak dicapai. Bahan pengajaran dan alat bantu mengajar dipilih supaya
sesuai dengan objektif pengajaran. Kaedah mengajar yang sesuai hendaklah
dirancang supaya isi pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan. Aktiviti
pengajaran seperti memberi keterangan, menyoal, merangsang, menarik perhatian
dilaksanakan di peringkat ini. Murid juga terlibat dengan aktiviti pembelajaran
seperti memerhati, menumpukan perhatian , berbincang dan menyelesaikan masalah.
Penilaian Prestasi
Pada peringkat ini, pemerhatian dan
ujian-ujian dijalankan untuk menyemak setakat mana murid telah mencapai
objektif pengajaran. Dengan adanya penilaian, guru mendapat maklum balas
tentang hasil pengajarannya. Sekiranya penilaian menunjukkan bahawa murid tidak
mencapai tahap yang memuaskan, maka guru perlu menyemak kembali setiap komponen
dalam modul pengajaran di atas. Jika perlu komponen yang didapati kurang tepat
dan sesuai perlu dikaji atau diubah suai. Contohya, kaedah pengajaran kuliah
dalam pembelajaran tidak difahami murid, maka guru perlu menukarnya kepada
kaedah perbincangan atau lain-lain yang memudahkan murid menguasai isi
pelajaran. Kekuatan model Glaser ini boleh dijadikan panduan asas bagi guru
dalam tugas mengajarnya. Bagaimanapun, model ini boleh mejadi lebih bermakna
sekiranya ditambah dengan unsur interaksi guru-murid dan langkah-langkah
pemulihan sekiranya perlu bagi murid-murid tertentu.
Model Inkuiri
Pendekatan inkuiri membolehkan murid
menggunakan keperluan ingin tahu mereka untuk meneroka sesuatu bidang ilmu.
Matlamat dalam pendekatan ini adalah mengembangkan kemahiran dan disiplin
intelek yang perlu untuk membangkitkan soalan dan mencari jawapan yang berpunca
daripada rasa ingin tahu mereka. Sesuatu pengajaran secara inkuiri dimulakan
dengan menyediakan satu situasi yang membingungkan. Individu yang menghadapi
situasi sedemikian (secara semula jadi) bermotivasi untuk menyelesaikan masalah
tersebut. Dalam model ini, terdapat lima fasa seperti rajah di bawah:
Keterangan model inkuiri :
Fasa 1: Fasa
satu, guru perlu mengemukakan situasi bermasalah dan menerangkan atur cara
inkuiri kepada murid. Pembentukan satu kejadian seperti menunjukkan bagaimana
sebatang pisau dibuat daripada dua jenis logam yang apabila dipanaskan ia
menjadi bengkok, memerlukan murid berfikir. Matlamat akhirnya dalam pengajaran
seperti ini adalah bertujuan untuk murid mengalami pembentukan pengetahuan
baru.
Fasa 2: Melibatkan
pemeriksaan proses iaitu murid mengumpulkan maklumat tentang kejadian yang
dilihat atau alami.
Fasa 3: Uji
kaji dijalankan oleh murid dengan memasukkan elemen-elemen baru dalam situasi
untuk melihat sama ada kejadian itu berlaku dengan cara lain. Di sini murid
mungkin bertanya tentang objek dan guru harus peka serta sedar tentang jenis
maklumat yang diperlukan dan mengubah corak penyoalan.
Fasa 4: Guru
meminta murid menyusun data untuk membentuk satu keterangan. Mungkin ada murid
yang sukar untuk memahami maklumat dan membentuk pemahaman mengenainya.
Fasa 5: Murid
diminta menganalisis corak inkuiri mereka. Mereka memerlukan soalan yang
berkesan, soalan yang produktif dan memerlukan maklumat lanjut daripada guru.
Walaupun model inkuiri digunakan
pada mulanya dalam bidang sains, namun atur caranya juga sesuai untuk semua
bidang. Contohnya, kemahiran hidup, bagaimana proses-proses tumbesaran pokok
atau tanaman daripada hanya sebutir biji benih yang kering, boleh dijadikan
situasi yang membingungkan murid.
Model Sim
Model sim terdapat empat unsur
penting dalam pengajaran iaitu guru, pelajar, isi pelajaran dan objektif
pengajaran. Unsur-unsur tersebut boleh berinteraksi antara satu sama lain
seperti dalam rajah berikut:
Dalam membuat persediaan pengajaran,
model sim mengandungi elemen-elemen guru, objektif dan isi pelajaran. Ia perlu
dititikberatkan dengan mengambil kira objektif yang hendak dicapai dan isi
pelajaran yang sesuai seperti rajah di bawah:
Murid menjadi fokus dalam pencapaian
objektif pembelajaran. Dalam menentukan objektif dan isi pelajaran , fakta
murid seperti kebolehan dan pengetahuan sedia ada murid perlu diambil kira. Isi
pelajaran termasuk media dan teknik digunakan untuk penyampaian isi pelajaran
itu. Isi pelajaran ditentukan oleh guru setelah mengambil kira tentang
kebolehan murid. Dalam setiap pengajaran, objektif dinilai dari segi
pencapaiannya oleh murid dan guru menggunakannya untuk memperbaiki
pengajarannya. Model Sim berfaedah kepada guru kerana membantu guru merancang
pengajarannya dengan mengambil kira unsur-unsur penting seperti menentukan
bahan, cara mengajar dan penilaian.
Model Pembelajaran
Penguasaan
Bloom (1968) merupakan pengasas
kepada model pembelajaran ini. Model Pembelajaran Penguasaan adalah suatu
proses pengajaran yang boleh digunakan apabila seseorang guru ingin mengajar
semua isi kandungan kepada murid di dalam kelas. Model ini memerlukan guru
menstrukturkan bahan pengajaran agar setiap murid dapat menguasai sesuatu
bidang mengikut masa dan keupayaan diri masing-masing. Model ini juga
mengutarakan fenomena ‘self-fulfiling prophecy’ iaitu murid percaya bahawa
semua orang boleh berjaya dan kebanyakan murid boleh mempelajari apa yang
diajar di sekolah.
Bagi melaksanakan pembelajaran
penguasaan, objektif pengajaran haruslah jelas dan isi kandungan pengajaran
dicerakinkan kepada beberapa bahagian yang kecil. Isi pengajaran juga mestilah
disampaikan mengikut tahap-tahap individu dan dalam susunan tertib unit
pembelajaran yang meningkat. Di samping itu, penilaian secara individu perlu
dibuat, begitu juga pemantauan kemajuan murid.
Penilaian diagnostik merupakan jenis
penilaian yang kerap digunakan dalam pembelajaran penguasaan. Guru diminta
untuk membina dan mentadbir ujian-ujian pendek untuk menentukan penguasaan
objektif pembelajaran harian oleh murid. Murid yang mempunyai 15% kesalahan
akan mengulangi tugasan mereka sehingga mereka mencapai penguasaan yang lebih
tinggi. Bagi membantu murid mencapai penguasaan isi kandungan, guru boleh
merancang kerja-kerja secara individu seperti bacaan khas, tugasan dalam
lembaran kerja dan permainan komputer. Selain itu, guru boleh mengadakan
tutorial rakan sebaya, kumpulan kecil pembelajaran dan kumpulan permainan
akademik. Bagi murid yang berjaya menguasai isi kandungan, mereka akan
diberikan tugasan-tugasan pengayaan.
Model Pembelajaran
koperatif
Model Pembelajaran Koperatif
mengutarakan kerjasama di antara ahli-ahli dalam kumpulan di samping
meningkatkan pencapaian akademik murid. Terdapat tiga matlamat utama dalam
model ini iaitu:
- untuk memperbaiki kefahaman dan
kemahiran murid yang diajar
- untuk membolehkan murid
membentuk kemahiran kumpulan berkoperatif dan seterusnya menghormati
perbezaan individu dalam kelas
- untuk membolehkan murid
mementingkan nilai terhadap pembelajaran dan membentuk sikap positif
terhadap murid pelbagai kaum
Di antara teori-teori pendidikan
dalam model ini ialah:
- ganjaran berkumpulan–murid
belajar dalam kumpulan dan akan memperoleh faedah-faedah tertentu. Melalui
pembelajaran berkumpulan, murid boleh bekerjasama dalam kumpulan
masing-masing dan bersaing secara sihat dengan kumpulan lain.
- mengurangkan stereotaip–murid
yang mempunyai peluang untuk bekerja dalam kumpulan dengan murid yang lain
boleh mengurangkan sikap stereotaip mengenai ras, jantina, pelajar yang
berpencapaian rendah atau cacat.
Hasil daripada pembelajaran
koperatif, didapati bahawa murid yang berpencapaian tinggi boleh mencapai tahap
kefahaman yang lebih tinggi dalam proses membantu murid yang berpencapaian
rendah. Model ini juga dianggap boleh mewujudkan motivasi di kalangan murid
khususnya mereka yang berpencapaian rendah. Selain itu, mereka yang terlibat dalam
pembelajaran koperatif menunjukkan konsep kendiri yang tinggi.
Model Teori Pengajaran
Dalam Amalan
Murid yang diajar mengikut ‘teori
pengajaran dalam amalan’ adalah berdasarkan kepada Hunter (1991) . Beliau
menyatakan bahawa pengajaran meliputi suatu siri keputusan profesional yang
mempengaruhi tahap pembelajaran seseorang murid. Keputusan-keputusan ini adalah
berkenaan dengan isi kandungan pelajaran, bagaimana murid mencapai pembelajaran
melalui aktiviti tertentu dan tingkah laku guru yang spesifik dalam kelas.
Hunter percaya bahawa
konseptualisasi pengajaran dengan ketiga-tiga keputusan tersebut boleh
membekalkan suatu rangka rujukan . Ini bermakna keputusan pengajaran dan
tindakan boleh diterangkan, diinterpretasi, dibincang, dinilai dan diperbaiki.
Program Hunter memberikan suatu reka bentuk yang mengandungi tujuh unsur untuk
mengajar suatu pelajaran. Unsur-unsur dalam pengajaran ini ialah:
- set jangkaan (anticipatory set)
– membolehkan murid menjangka apa yang akan dipelajari
- objektif dan tujuan
- input – murid mendapat maklumat
baru
- modeling – guru memberikan
contoh-contoh, demonstrasi, idea,
- menguji kefahaman – guru
menguji di celah-celah pelajaran
- latihan berpandu – murid
berlatih dengan skala yang dipelajari dan diselia oleh guru
- latihan bebas – murid membuat
tugasan yang diberi oleh guru tentang apa yang telah dipelajari secara
bebas
Semasa guru hendak membuat
keputusan, guru tersebut haruslah membuat keputusan berasaskan kepada pengajaran
yang berkesan. Ini seterusnya memerlukan guru memahami sains pengajaran kerana
ini akan menjadi asas untuk guru dalam membuat keputusan. Di samping itu, guru
haruslah berkemahiran untuk melaksanakan keputusan yang tepat. Model ini boleh
dipraktikkan dengan merancang soalan yang diperoleh daripada tiga jenis
keputusan di atas iaitu:
- Apakah yang murid akan belajar?
- Bagaimanakah murid akan
belajar?
- Keputusan yang bersangkutan dengan kadar pembelajaran,
pemindahan pembelajaran kepada situasi yang baru.
Model Pembelajaran Memproses Maklumat
Menurut Lerner (2003) model
pembelajaran memproses maklumat menerangkan pengaliran maklumat semasa proses
pembelajaran, iaitu bermula dari penerimaan maklumat melalui proses di dalam
otak sehinggalah menghasilkan tindakan. Pusat kepada model pembelajaran
memproses maklumat ialah kepelbagaian bahagian sistem daya ingatan. Bahagian
ini mempunyai sistem penerimaan maklumat yang terbahagi kepada tiga jenis ingatan
iaitu:
- penerimaan daya
deria-rangsangan
- daya ingatan jangka pendek
- daya ingatan jangka panjang
Daya Deria Rangsangan
Maklumat diterima melalui daya
rangsangan penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa. Rangsangan yang
diterima adalah sama ada secara dalaman atau luaran. Teori memproses maklumat
sangat penting kepada pengajaran guru. Ini adalah kerana ia dapat membantu guru
mengatasi masalah ketidakupayaan pembelajaran murid mereka. Di samping itu
mereka dapat membuat perancangan terhadap pengajaran di dalam bilik darjah.
Daya Ingatan Jangka
Pendek
Daya ingatan jangka pendek dikenali
juga dengan ingatan sementara. Apabila melalui proses ini, seseorang itu akan
mempunyai kesedaran untuk memahami maklumat dan seterusnya bertindak balas
terhadap maklumat yang diterima. Apabila seseorang itu memikirkan masalah yang
baru, maklumat baru akan menggantikan maklumat lama. Kepentingan kepada
pengajaran guru ialah, guru boleh mengenal pasti maklumat yang disimpan oleh
murid di dalam jangka masa waktu yang diperlukan. Guru sepatutnya merancang
aktiviti bagi membolehkan isi pelajaran yang diajar bukan sahaja berada di
dalam daya ingatan jangka pendek murid, tetapi sebaliknya terus disimpan di
dalam ingatan jangka panjang.
Daya Ingatan Jangka
Panjang Berkekalan
Daya ingatan jangka panjang adalah
berkekalan. Bagi mempelajari mengekalkan maklumat yang diperolehi untuk
satu-satu tempoh masa yang panjang, maklumat perlu dialihkan dari ingatan
jangka pendek kepada ingatan jangka panjang. Terdapat dua jenis ingatan jangka
panjang iaitu ingatan makna dan pengalaman.
Kepentingannya kepada pengajaran
ialah, cara bagaimana maklumat disimpan di dalam daya ingatan jangka panjang
membantu kita untuk menggunakan maklumat apabila diperlukan. Melalui teknik
pengajaran yang jelas, sistematik dan menggunakan kaedah yang menarik pasti
dapat membantu murid mengingat kembali isi pelajaran yang telah dipelajari.
Strategi-strategi yang dapat membantu murid meningkatkan daya ingatan jangka
panjang mereka ialah sistem penyusunan maklumat, menggunakan pengetahuan sedia
ada dan membuatkan maklumat yang diperolehi lebih bermakna.
Model Systematic
Approach for Adapting the Learning Environmet (SAALE)
Model SAALE telah diperkenal dan
digunakan sejak awal tahun 1970an lagi. Ia merupakan satu reka bentuk (design)
di mana kandungan kurikulum mungkin memerlukan perubahan (adaptasi) untuk
membolehkan murid-murid kurang upaya mendapat kurikulum pendidikan biasa .
Untuk memenuhi matlamat pendidikan kepada murid kurang upaya, maka Reauthorization
of the Individuals with Disabilities Education Act, 1997 (IDEA), telah
menyuarakan kepada sistem pendidikan sekarang supaya memberi peluang dan akses
yang lebih luas kepada pelajar kurang upaya (Wood 2002) . Lou Danielson (1999),
menegaskan kepada konsep “universal design” (satu corak yang boleh diterima
pakai oleh semua) sebagai amalan yang dapat menolong kanak-kanak khas ini
mencapai matlamat pendidikannya. Penggunaan model SAALE ini telah memberi satu
pencapaian bermakna terhadap pendidikan dalam kepelbagaian populasi . Model ini
adalah model adaptasi. Ia mengandungi tiga komponen besar adaptasi iaitu:
- Adaptasi persekitaran
- Adaptasi pengajaran
- Adaptasi penilaian
Adaptasi Persekitaran
Adaptasi persekitaran melibatkan
guru melakukan pengubahsuaian persekitaran sosioemosi, persekitaran tingkah
laku dan persekitaran fizikal.
Adaptasi Persekitaran
Pengajaran
Adaptasi persekitaran pengajaran
ialah ia melibatkan guru melakukan pengubahsuaian terhadap perancangan
pengajaran, teknik pengajaran, format kandungan pengajaran dan media
pengajaran.
Dalam konteks adaptasi persekitaran
pengajaran ini , model ini menekankan bahawa seseorang guru haruslah melakukan
penyesuaian yang spesifik yang boleh dilakukan pada mana-mana titik atau tempat
di mana murid menghadapi kesukaran dalam teknik pengajaran, kemahiran pelajaran
atau kandungan pengajaran. Konsep ketidaksesuaian dalam pengajaran adalah
sangat penting difahami kerana ketidaksesuaian yang berlaku tidak disebabkan
oleh murid mahupun pendidik. Ketidaksesuaian hanyalah satu keadaan apabila
murid tidak berjaya kerana pendidik mempunyai harapan dan sangkaan yang tidak
sepadan dengan keupayaan anak didiknya. Sebagai contoh muridnya tidak dapat
menyalin di papan tulis, sedangkan guru menyuruhnya menulis atau menyalin juga,
maka berlakulah ketidaksesuaian. Oleh sebab itu sebagai guru, kita mestilah
mencari punca ketidaksesuaian tersebut dan memperkembang dan
mengimplementasikan intervensi yang bersesuaian dengan murid.
Adaptasi juga boleh dilakukan pada
rancangan pengajaran yang memfokuskan kepada satu sahaja objektif yang spesifik
dan jelas, adaptasi teknik pengajaran yang mementingkan informasi input iaitu ,
memberikan maklumat bergantung kepada keupayaan murid itu, adaptasi format isi
kandungan yang tidak terlalu banyak, dan penggunaan media seperti audio visual
dan sebagainya.
Adaptasi Penilaian
Adaptasi penilaian merangkumi
penilaian murid dan penggredan. Adaptasi penilaian bermaksud bahawa penilaian
yang dilakukan adalah menyeluruh. Penilaian kurikulum patut dilakukan dari masa
ke semasa agar bersesuaian dengan murid khas. Dalam hal ini, guru perlu
memastikan aspek keadilan diambil kira bagi memastikan semua murid mendapat
faedah yang sama bagi pelaksanaan suatu kurikulum itu.
Model Pembelajaran
Masteri
Pembelajaran Masteri adalah
pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berfokus kepada penguasaan murid
dalam sesuatu perkara yang dipelajari. Melalui pembelajaran masteri murid
diberi peluang untuk maju mengikut kebolehan dan kadar pembelajaran mereka
sendiri serta dapat mempertingkatkan tahap penguasaan pembelajaran.
Pembelajaran Masteri (Hunter 1991)
merupakan suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan semua
murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit
pembelajaran sebelum ke unit pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini memerlukan
proses pengajaran dan pembelajaran yang terancang dan berkualiti serta
berpandukan tahap penguasaan murid. Model Pembelajaran Masteri dimulakan dengan
penentuan hasil pembelajaran, dan diikuti dengan pengajaran dan pembelajaran.
Tujuan menentukan hasil pembelajaran murid adalah untuk memastikan semua murid
berjaya menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diberikan dengan kadar
kemampuan biasa seseorang murid di tahap tersebut. Setelah dibuat penilaian,
murid yang telah menguasai akan diteruskan dengan aktiviti pengayaan dan bagi
murid yang belum menguasai akan diteruskan dengan aktiviti pemulihan.
Dalam Pembelajaran Masteri terdapat
beberapa langkah yang perlu Dilaksanakan oleh guru . Langkah tersebut
digambarkan melalui model berikut:
Dalam pengajaran dan pembelajaran
masteri, beberapa perkara perlu diketahui oleh guru. Antaranya:
- kebolehan dan keupayaan murid
yang berbeza
- kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang berbeza
- kemudahan yang ada
- masa yang diperuntukan
Dengan mengetahui kebolehan
dan keupayaan murid yang berbeza, guru dapat merancang kaedah pengajaran
yang juga berbeza dan pelbagai bagi memudahkan murid menguasai ilmu yang
disampaikan. Dengan merujuk kepada kadar penerimaan dan kesanggupan, murid akan
dapat menguasai ilmu pada kadar kemampuan mereka. Untuk itu, guru seharusnya
mengenali murid mereka.
Model Ekspositori
Ekspositori bermaksud memberi
penerangan yang jelas dan terperinci. Dalam konteks pengajaran, ekspositori
merupakan penyampaian maklumat atau isi kandungan pelajaran secara langsung
kepada murid-murid di dalam kelas. Oleh itu, kaedah ekspositori ialah cara
penyampaian pelajaran melalui penerangan, bercerita atau demonstrasi dengan
tujuan mengajar sesuatu. Dalam model ini, guru memberi penerangan terlebih
dahulu dan murid mendengar dengan teliti hingga mereka memahami dan
mengingatinya atau merekodkan isi pentingnya dalam buku nota mereka.
Cara-cara penyampaian dengan
menggunakan model ekspositori adalah dihuraikan seperti berikut:
- menerang, menginterpretasi dan
menghuraikan idea dan konsep daripada buku teks.
- menerangkan sambil
mendemonstrasikan cara melukis atau membina bentuk -bentuk geometri.
- menerangkan langkah-langkah
penyelesaian masalah berdasarkan kemahiran -kemahiran yang telah
dipelajari.
- menerangkan sesuatu konsep
dengan alat bantu mengajar.
Komentar
Posting Komentar